Indahnya ukhwah ini bila bertemu dan berpisah kerana Allah. Walau setiap pertemuan ada perpisahan, detik perpisahan tetap menjadi suatu yang sangat di takuti namun ia pasti tiba tanpa ragu.
Kehidupan yang tidak lepas dari ikatan ukhwah sesama manusia sering meniti kebahagiaan dan kesengsaraan. Mungkin kebahagiaan dan kesengsaraan ini jua ujian dari Allah SWT. Kelihatan senyuman terukir di bibir namun jiwa yang menangis hanya ditemani suatu semangat yang di lontarkan oleh suatu kuasa yang tak mungkin dapat digambarkan melalui kata-kata. Walau seribu insan mengatakan TIDAK, tetapi Allah SWT mengatakan YA maka jawapannya tetap PASTI ...
"Ummat manusia pada zaman ini sedang mencari satu cahaya iman yang sebenarnya. Fikiran mereka telah tenggelam dalam kekusutan fahaman falsafah kebendaan (materialisme). Fikiran yang gelap penuh dengan keraguan. Hati yang luka parah oleh cara hidup tidak bertujuan yang diilhamkan oleh tamaddun yang kejam. Mereka tidak sedar akan maksud penciptaan mereka dan seluruh alam semesta ini. Mereka sunyi dan amat dahagakan belaian kasih sayang"
Firman Allah SWT:
"Apakah kamu mengira bahawa Kami menjadikan kamu secara sia-sia sahaja dan kamu semua tidak akan dikembalikan kepada Kami. Maka Maha Tinggi Allah, Raja yang sebenarnya. Tidak ada Tuhan selain Dia, Tuhan ( Yang Mempunyai) Arasy yang mulia " (Surah al-Mu'minun: ayat 115-116.)
Orang yang berbahagia ialah orang yang telah bertemu dengan pertolongan-Nya. Orang yang telah ditarik oleh cahaya hidayah-Nya. Mereka telah meneroka dengan pandangan mereka segala kabus yang telah menutup kealpaan dan kelalaian mereka selama ini. Seterusnya mereka tahu akan marhalah-marhalah perjalanan dan melangkah menuju ke matlamatnya.
Hidup ini bukan kosong. Hanya iman yang dapat membahagiakan semua insan itu, dari sehina-hina insan hinggalah semulia-mulia insan Hanya iman yang akan menjaga keutuhan kesatuan bagi berdepan dengan kehidupan yang penuh bergelora. Hanya iman yang akan menukarkan satu hati yang gelap kepada satu punca cahaya yang lembut, segar dan bersinar.
Tetapi iman bukan boleh dijual beli dipindah milik. Tanpa percarian dan memohon petunjuk dari-Nya amat mustahil memperoleh iman yang utuh dariNya. Penilaian iman seseorang insan bukanlah melalui penilaian MANUSIA lain tetapi penilaian iman itu adalah HAK ALLAH SWT... dan kita sebagai manusia hanya mampu berusaha dan terus berusaha mencari IMAN yang hakiki....
Pencarian iman yang belum berakhir pasti disulami perit getir onak dan duri. Ya , aku pasti kedamaian pasti tiba kerana pergantungan aku hanya satu iaitu ALLAH SWT...
Wallahua'alam ...
No comments:
Post a Comment